Usaha tingkatkan keselamatan sempadan negara

Usaha tingkatkan keselamatan sempadan negara

Tawau: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara.

Ia bagi memastikan tiada pihak akan dapat mengambil kesempatan melakukan jenayah rentas sempadan.

Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ia adalah antara teras yang menjadi fokus Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya, ia bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat dan diperkukuh melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus yang baik.

“Keperluan pembinaan pos kawalan dan aset baharu juga perlu diberikan perhatian dalam memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam.

“Ia termasuk usaha membanteras jenayah dadah, jenayah rentas sempadan dan penyeludupan barang kawalan serta penyeludupan manusia,” katanya ketika meninjau sempadan negara di Serudong laut dan Simanggaris, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Staff Bahagian Operasi Darat, Datuk M Chandrasehkaran, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, Ketua Staff Operasi Laut, Laksamana Pertama (M) Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

Turut hadir Pegawai Pemerintah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad, Penolong Ketua Staff Bahagian Operasi Darat ESSCOM, Leftenan Kolonel Abdul Malek Mohamad serta pegawai kanan ESSCOM.

Hamzah berkata, cadangan pembinaan CIQ dan Pos kawalan Sempadan Malaysia-Indonesia Simanggaris, Kalabakan juga perlu diwujudkan bagi memastikan peraturan keluar masuk ke negara ini dipatuhi.

Katanya, ia sebagai salah satu usaha mengukuhkan kawalan sempadan negara dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau juga akan meningkatkan pemantauan dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang kemasukan PATI.

“Ia juga bagi membanteras aktiviti penyeludupan melalui pintu masuk negara yang tidak diwartakan membabitkan perairan negara,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Hamzah turut menyampaikan sumbangan kepada petugas barisan hadapan serta berkesempadan menyantuni masyarakat di kampung Murut Simanggaris, Kalabakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|