BN, UMNO Sabah tarik diri daripada kerajaan negeri

BN, UMNO Sabah tarik diri daripada kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin malam ini mengumumkan keputusan Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah untuk menarik diri daripada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata keputusan sebulat suara pemimpin UMNO Sabah itu selepas mengambil kira tindakan Hajiji memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri.

Katanya, Hajiji sudah melanggar persefahaman yang dibuat di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Beliau berkata, persefahaman politik tersebut antara lain menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN / UMNO akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai Ketua Menteri selagi pelantikan Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN / UMNO seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

Datuk Yakub Khan (kiri) bersama Datuk Bung Moktar Radin (kanan) ketika sidang media

“Hari ini Ketua Menteri mengeluarkan surat penamatan kepada Salleh selaku Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut kita mengenai rombakan Kabinet tanpa berbincang dengan kita.

“Jadi kami sebulat suara membawa UMNO dan BN Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri dan sokongan terhadap Hajiji.

“Kami sudah hilang kepercayaan dan selepas Hajiji keluar daripada BERSATU , kami bincang dengan beberapa peguam yang memaklumkan bahawa Hajiji hilang locus standi dan tiada layak menjadi Ketua Menteri,” katanya pada sidang media malam ini.

Beliau mendakwa pihaknya bertindak selepas melihat Perlembagaan Negeri dan mengambil tindakan balas apabila Hajiji melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Ditanya sama ada BN dan UMNO akan membentuk kerjasama dengan parti lain termasuk Parti Warisan (WARISAN) untuk membentuk kerajaan baharu, Bung Moktar berkata perkara itu belum dipastikan selain menyebut tunggu dan lihat.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ketika ini UMNO Sabah mempunyai 18 ADUN termasuk Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) yang baru menyertai parti itu.

Bagaimanapun, katanya lima ADUN UMNO tidak menyokong keputusan dibuat pihaknya dan bakal berdepan tindakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|