SOP pengembara luar negara tidak terhad kepada negara tertentu sahaja

SOP pengembara luar negara tidak terhad kepada negara tertentu sahaja

Kota Kinabalu: Pengumuman berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan pengembara dari luar negara ke Sabah tidak terhad kepada negara tertentu sahaja.

Jurucakap Perkembangan Harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ianya turut terpakai bagi mana-mana negara yang menjadi perhatian semasa.

“SOP pengurusan pengembara dari luar negara yang masuk ke negeri Sabah yang telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri pada 4 Januari lepas tidak terhad kepada hanya sesebuah negara tertentu sahaja.

“Ianya merujuk kepada semua negara yang menjadi perhatian semasa kerana angka penularan yang tinggi atau yang baharu sahaja membuka pintu negara untuk rakyatnya keluar mengembara ke negara lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini berkaitan wabak berkenaan dan membuat akan pengubahsuaian mengikut keperluan.

“Kerajaan Negeri juga memantau perkembangan data angka jangkitan dan virulens Covid-19 di negara-negara tersebut.

“Pejabat Konsulat Negara China di Kota Kinabalu juga telah memberi penjelasan terperinci mengenai keadaan semasa penularan Covid-19 di negara itu, pada masa ini.

“Pengubahsuaian terhadap SOP kemasukan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut keadaan,” katanya lagi.

Terdahulu, sebanyak 14 kes baharu telah direkodkan hari ini iaitu penurunan sebanyak empat kes berbanding kelmarin.

Sebanyak tujuh daerah mencatatkan kes baharu iaitu Kota Kinabalu empat kes, Tuaran (4 kes), Putatan (2 kes) serta masing-masing satu kes di Keningau, Kota Belud, Papar dan Sandakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|