KDM percaya Hajiji sudah hilang majoriti

KDM percaya Hajiji sudah hilang majoriti

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tampil menyatakan pendirian mengenai kedudukan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang dianggap sudah hilang majoriti untuk terus memegang jawatan berkenaan.

Pendirian itu menyusul selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan menarik diri daripada kerajaan pimpinan Hajiji setelah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri itu.

Menerusi satu kenyataan lewat malam tadi, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, berkata beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap bersama dua lagi ADUN dari partinya, Datuk Nuil Juatim (Limbahau) dan Datuk Wetrom Bahanda (Bandau) membuat pendirian itu berdasarkan Perlembagaan Negeri.

“Kami percaya bahawa ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sudah tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah dengan merujuk kepada Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Ia menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020.

“Seterusnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya.

Peter berkata, KDM Sabah menyerahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selaku untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|