Dakwaan kenaikan kadar caj lesen pameran tidak benar – DBKK

Dakwaan kenaikan kadar caj lesen pameran tidak benar – DBKK

Kota Kinabalu: Dakwaan penganjur program Jesselton Artisan Market (JAM) bahawa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menaikkan kadar caj lesen pameran adalah tidak benar.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi DBKK, Robert Lipon berkata, kadar caj lesen yang diguna pakai selama ini untuk aktiviti pameran tersebut adalah berdasarkan Peraturan Hiburan Awam 2009 (Ordinan Hiburan Awam 1958).

Menurutnya, ia menyatakan kadar caj bagi aktiviti pameran dalam bangunan adalah sebanyak RM70 sehari setiap tapak, manakala aktiviti pameran untuk luar bangunan adalah sebanyak RM30 sehari setiap tapak.

Jelas beliau, peraturan itu adalah Undang-Undang Negeri yang dikuatkuasakan di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

“Pihak DBKK mengambil maklum aduan melalui kenyataan akhbar oleh Aaron Lam bertarikh 6 Januari 2023 bertajuk ‘Permit fee too costly, so event off’.

“Untuk makluman, pengadu (Aaron) adalah penganjur kepada program JAM yang sering diadakan di Riverson Walk, Kota Kinabalu.

“Penganjur ini telah membuat permohonan untuk mengadakan pameran itu pada 3 hingga 4 Disember 2022 yang lepas, bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) dengan mengemukakan permohonan bagi 10 tapak perniagaan sahaja.

“Kadar lesen yang dibayar berdasarkan 10 tapak perniagaan adalah sebanyak RM1,400,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setelah DBKK membuat pemeriksaan, jumlah sebenar yang menjalankan aktiviti pameran tersebut adalah sebanyak 150 tapak perniagaan berbanding jumlah yang dipohon iaitu 10 tapak sahaja.

Justeru, beliau berkata, jumlah lesen sebenar yang perlu dibayar penganjur adalah sebanyak RM21,000.

“Ini bermakna pada waktu tersebut, Aaron Lam selaku penganjur menikmati keuntungan/penjimatan sebanyak RM19,600 berdasarkan daripada jumlah sebenar yang perlu dibayar kepada DBKK.

“Namun, atas rayuan penganjur dan dasar keprihatinan untuk memberi sokongan kepada peniaga, DBKK telah memberi pengurangan diskaun kepada penganjur untuk membayar lesen sebanyak RM9,800 sahaja,” katanya sambil menambah bahawa penganjur telah pun menjelaskan bayaran lesen tersebut.

Selain itu, katanya, sepanjang tahun 2022 yang lepas, penganjur juga telah diberi kelulusan setiap bulan di kawasan Riverson dengan jumlah tapak perniagaan yang dipohon, antara tiga sehingga 10 tapak.

“Walau bagaimanapun, DBKK telah menerima aduan bahawa jumlah sebenar peniaga yang menjalankan aktiviti tersebut melebihi daripada jumlah sebenar yang dipohon. DBKK dalam proses menjalankan siasatan ke atas perkara ini.

“Sekiranya mempunyai bukti yang mencukupi, DBKK akan mengambil tindakan terhadap penganjur di bawah Seksyen 3 dan 11 Ordinan Hiburan Awam 1958, di mana sekiranya sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000,” katanya lagi.

Terdahulu, JAM menerusi laman Facebook mereka memaklumkan bahawa program berkenaan dibatalkan dan dihentikan buat sementara waktu, sehingga diberitahu kelak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|