Tanah runtuh di kilometer 92.7 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan

Tanah runtuh di kilometer 92.7 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan

Kota Kinabalu: Cuaca hujan lebat sekali lagi menyebabkan jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu-Sandakan terjejas selepas mengalami tanah runtuh, petang tadi.

Bagaimanapun, kejadian yang dilaporkan berlaku di kilometer 92.7 berhampiran kawasan Kinasaraban, Ranau itu kini dapat dilalui kenderaan selepas tindakan segera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Kerja-kerja pembersihan dijalankan di kawasan runtuhan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan JKR Sabah di laman sosial facebook hari ini berkata, JKR sudah mengambil tindakan memasang Trafic Management Plan.

Katanya, kerja-kerja pembersihan turut dilakukan bagi memastikan jalan berkenaan dapat dilalui kenderaan.

“JKR Sabah sudah mengambil tindakan pemasangan ‘Traffic Management Plan’ dan kerja-kerja pembersihan.

“Status jalan ketika ini hanya satu lorong yang dapat dilalui kenderaan,” katanya.

Sementara itu, JKR Sabah turut memaklumkan, kilometer 109.378 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan yang terputus selepas mengalami runtuhan akibat kegagalan pembentung semasa hujan lebat berterusan pada 4 Januari lalu, masih ditutup.

“Pada masa ini, jalan di lokasi berkenaan tidak dapat dilalui oleh pejalan kaki dan semua jenis kenderaan.

“Orang awam yang ingin menuju ke Kota Kinabalu atau sebaliknya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif sehinggalah pembinaan lencongan sementara dapat disiapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|