Kota Kinabalu: Usaha pendekatan holistik Kerajaan Negeri menyelesaikan krisis air di negeri ini perlu mendapat pujian dalam memastikan keseimbangan isu kemudahan asas Sabah.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata, peruntukkan dana berjumlah lebih RM320 juta yang diluluskan oleh Perdana Menteri hari ini perlu dinilai secara tuntas dalam kegigihan kedua-dua pihak menyelesaikan permasalahan utama yang membelenggu rakyat sejak akhir-akhir ini.

Jelas beliau, dengan adanya bantuan dana tersebut, kerajaan pemerintah dapat melaksanakan jalan penyelesaian secara jangka pendek dengan kadar segera bagi menjamin isu air tidak lagi berpanjangan di masa hadapan.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan dana bagi menyelesaikan masalah air di Sabah pada kadar segera harus dipuji kerana ia dilihat agak mendesak sejak-sejak akhir ini.
“Begitu juga dengan Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Ketua Menteri Sabah ia menunjukkan usahanya yang gigih bagi memastikan segala masalah rakyat di Sabah didengari dengan jelas oleh pemimpin persekutuan.
“Kita juga berharap langkah sebegini merupakan titik mula usaha memastikan Sabah tidak lagi ketinggalan jauh dari segi pembangunan berbanding negeri lain,” katanya.
Terdahulu, di Putrajaya pagi tadi, Anwar mengadakan satu mesyuarat khas di pejabatnya bagi membincangkan jalan penyelesaian terdekat untuk menyelesaikan isu air di negeri Sabah dan Kelantan.
Di peringkat Sabah, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana berjumlah lebih RM320 juta untuk pelaksanaan jangka pendek masalah air di negeri ini.
Ia melibatkan pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh negeri ini termasuk sembilan projek di bawah perancangan daerah untuk Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
-Deasoka