Misi tangani isu air sudah bermula: Shahelmey

Misi tangani isu air sudah bermula: Shahelmey

Kota Kinabalu: Pelaksanaan ‘misi penting’ dalam memastikan isu bekalan air di Sabah ditangani bermula pada hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, projek-projek yang bernaung dalam enam buah program itu menyasarkan pengurangan kadar air tidak berhasil dengan mengambil tempoh enam hingga 12 bulan untuk diselesaikan.

Shahelmey mengagihkan set jenazah kepada penerima dalam majlis berkenaan.

Jelasnya, ia merupakan langkah signifikan daripada Kerajaan Negeri berikutan pihak Persekutuan yang bersetuju memperuntukkan dana RM320 juta bagi 20 buah projek bekalan air di Sabah.

“Bagi jangka masa pendek, kita mempunyai 20 buah program akan dilaksanakan serta merta dengan mengambil masa enam hingga 12 bulan.

“Langkah ini adalah untuk memulihkan keadaan air yang kita sedang hadapi di Sabah, jadi bagi tempoh jangka pendek ini kita akan menumpukan usaha untuk mengurangkan ketirisan air, ” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata demikian selepas ditemui dalam program pengagihan set jenazah kepada masjid dan surau di Balai Raya Kampung Tanjung Aru, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, antara usaha lain yang akan dilaksanakan bagi menguragkan NRW di Sabah adalah termasuklah membaiki paip bocor dan menggantikan pam air yang tidak berfungsi dalam tempoh enam bulan ini.

“Antara yang kita lakukan adalah membaiki paip bocor seperti paip AC yang ada di sekitar Pantai Barat Selatan, menambah booster pump, gantian pam air rosak serta penambahbaikan lain.

“Insyallah dalam tempoh enam bulan ini, masyarakat sekitar akan menerima perubahan susulan penambahbaikan bekalan air berkenaan.

“Kita dalam masa sama juga sedang mengarahkan pihak Jabatan Air untuk mengurus agihan bekalan air terutamanya di kawasan daerah Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan dan juga bahagian utara Papar, ” katanya.

Untuk rekod, di Putrajaya semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama rombongan telah menghadiri mesyuarat tertinggi di antara Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan bagi membincangkan krisis air yang berlaku di negeri ini.

Hajiji dalam satu kenyataan medianya semalam kemudiannya mendedahkan satu peruntukkan berjumlah RM320 juta akan diagihkan oleh pihak persekutuan untuk menyelesaikan permasalahan air di negeri Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|