Kajian kebolehlaksanaan projek empangan di Papar, Ulu Padas di fasa akhir – Shahelmey

Kajian kebolehlaksanaan projek empangan di Papar, Ulu Padas di fasa akhir – Shahelmey

Kota Kinabalu: Projek empangan di Papar dan Ulu Padas, Sipitang kini berada pada fasa akhir kajian kebolehlaksanaan kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata kajian yang tertangguh atas faktor halangan penduduk kampung itu akan disambung semula dan disiapkan sebelum hujung tahun ini.

“Untuk empangan Papar, kita sedang menanti kajian kebolehlaksanaan yang sedang di fasa terakhir.

“Sepatutnya siap pada bulan Jun. Namun, pada tempoh beberapa bulan yang lepas, mereka dapat halangan daripada penduduk kampung.

“Tetapi saya difahamkan mereka sudah dapat memasuki kawasan tersebut untuk melengkapkan kajian itu,” katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Set Jenazah kepada Masjid dan Surau di Balai Raya Kampung Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, projek empangan yang dijangka bakal menjamin konsistensi bekalan air di Sabah itu amat diperlukan sebagai persediaan lima tahun akan datang.

Bagaimanapun, jelas beliau, hasil kajian kebolehlaksanaan projek itu akan diperincikan terlebih dahulu sebelum Kerajaan Negeri membuat sebarang keputusan mengenainya.

“Ianya kita jangka boleh siap sebelum hujung tahun ini dan apabila kita dapat laporan tersebut maka kita boleh membuat keputusan.

“Memang empangan ini nanti akan diperlukan dalam tempoh lika tahun daripada sekarang bagi memastikan jangka masa panjang, bekalan air di negeri Sabah dalam keadaan yang stabil dan mencukupi,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|