Sumbangan peruntukkan Persekutuan diyakini selesai isu air Sabah – Hajiji

Sumbangan peruntukkan Persekutuan diyakini selesai isu air Sabah – Hajiji

Kuala Lumpur: Bantuan Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan dana sebanyak RM320 juta kepada Sabah diyakini akan menyegerakan pelaksanaan jangka pendek bagi menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Ia melibatkan pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh negeri ini termasuk sembilan projek di bawah perancangan daerah untuk Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang dalam pertemuan khas bersempena mesyuarat tertinggi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putra Jaya, Kuala Lumpur hari ini turut menjangkakan kesemua projek tersebut akan siap dalam tempoh 12 bulan.

Beliau dalam masa sama turut memuji tindakan PM10 itu yang mengambil masa singkat untuk mengadakan mesyuarat berkenaan selepas mengadakan lawatan ke Sabah, semalam.

Hajiji ditemani Timbalan Ketua Menteri Sabah III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong yang memberikan taklimat berkenaan isu bekalan air negeri kepada Anwar di pejabatnya, di Putrajaya pada pagi tadi.

Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan adalah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Suhaimi Asbullah.

Turut berada di mesyuarat adalah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Terdahulu, dalam pertemuan tersebut juga, Ketua Menteri turut sempat memberikan taklimat kepada PM10 berhubung perancangan jangka panjang kerajaan negeri untuk pembekalan air impak tinggi di Sabah melibatkan projek dua empangan di Papar dan Sipitang.

Untuk tujuan tersebut, Anwar memberi jaminan akan melaksanakan perancangan menubuh pasukan petugas khas dalam tempoh terdekat ini yang terdiri daripada pihak Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi mencari pendekatan holistik serta langkah terbaik di masa hadapan.

Semalam, untuk rekod, Perdana Menteri terdahulu dalam ucapan bersempena penutupan Pesta Kaamatan di Penampang telah berjanji untuk mengadakan satu mesyuarat khas untuk membincangkan hala tuju penyelesaian krisis air melibatkan Sabah dan Kelantan dengan memanggil Ketua Menteri serta Menteri Besar kedua-dua negeri tersebut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|