Peserta Papar juarai Unduk Ngadau

Peserta Papar juarai Unduk Ngadau

Penampang: Wakil Papar, Carol Abbey Gail dinobatkan sebagai juara pertandingan Unduk Ngadau pada tahun ini.

Peserta berusia 24 tahun itu berjaya menewaskan 49 para peserta lain di seluruh daerah lain dan beberapa wakil negeri seperti Johor, Melaka dan Sarawak.

Mengenakan pakaian tradisional ‘Sia Do Binoikian’, bagi Carol kemenangan berkenaan bukanlah satu kelebihan namun lebih kepada tanggungjawab besar untuk mewakili suara rumpun KadazanDusun Murut dan Rungus (KDMR).

“Saya bersyukur akan kemenangan ini dan berjanji akan membuat yang terbaik sebagai Unduk Ngadau.

“Saya juga akan membuat sebaik mungkin dalam memartabatkan budaya, muzik dan tradisi serta kraftangan yang ada di Sabah ini,” katanya.

Carol berjaya membawa pulang wang tunai RM12,000 beserta tajaan biasiswa daripada North Borneo University College dan Asian Tourism Institute.

Naib juara Unduk Ngadau 2023 kali ini dimenangi oleh wakil daripada Kota Marudu, Calby Floresa Dolinting manakala tempat ketiga adalah wakil Tambunan, Clerice Olivia Augustine.

Kedua peserta masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 dan RM8,000.

Unduk Ngadau yang berlangsung bersempena Pesta Kaamatan tahun 2023 kali ini turut menyaksikan penyertaan 50 peserta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|