Kota Kinabalu: Segelintir ahli politik Sabah lebih suka berpolitik berbanding meletakkan prioriti mereka terhadap menyelesaikan masalah rakyat dan memajukan Sabah.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata mereka akan terus berusaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Bagaimanapun, katanya, rombakan Kabinet negeri yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini membuka jalan untuk satu gabungan jemaah menteri yang lebih sehaluan dan dapat bekerjasama.
“Apa yang mustahak sekarang ialah menerusi rombakan Kabinet tersebut menyaksikan Jemaah Menteri Sabah terdiri daripada anggota yang bersedia bekerjasama dengan Ketua Menteri untuk membangunkan Sabah, meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah dan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sidang DUN semalam yang membincangkan hal penting hak Sabah di bawah MA63 pun mereka (pihak menentang Hajiji) tidak hadir. Ia sudah sedikit sebanyak menceritakan semuanya,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kemungkinan kemelut politik di Sabah akan berterusan berikutan situasi semasa politik negeri ini yang dilihat masih kurang stabil.
Sementara itu, Kuok Tiung berkata kerajaan negeri yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan perpaduan kerana menggabungkan kerjasama banyak parti termasuk Pakatan Harapan (PH) Sabah.
“Kita perlu sedar dan ingat bahawa kerajaan perpaduan bermakna kerajaan yang terbentuk daripada parti-parti atau ahli-ahli politik yang bersetuju dan menyokong seseorang sebagai ketua seperti menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Jikalau hari ini Parti Warisan dan KDM menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri sepertimana mereka menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sudah pastinya akan ada perwakilan daripada mereka dalam barisan Kabinet, tapi mereka tidak menyokong.
“Makanya, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh memaksa atau menentukan siapa-siapa yang harus berada di dalam Kabinet Sabah atau tidak.
“Ia adalah prerogatif Hajiji menentukan siapa-siapa yang harus berada di dalam barisan Kabinet Sabah sepertimana Anwar Ibrahim untuk Kabinet Kerajaan Perpaduan persekutuan Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin UMNO Sabah, WARISAN dan KDM menyuarakan gesaan mereka agar Hajiji menyahut cadangan Perdana Menteri mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan di Sabah.
Gesaan itu disuarakan mereka selepas perbincangan mengenai kemelut politik Sabah dengan Anwar lewat malam Isnin lalu yang mana Perdana Menteri turut memberi restu kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Kemelut politik Sabah tercetus berikutan cubaan WARISAN dan BN Sabah untuk menukar kerajaan pada 4 Januari lalu, namun gagal sebelum diteruskan menerusi tindakan BN Sabah mengumumkan menarik balik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan negeri.
-Deasoka