2 lelaki warga Filipina cuba seludup petrol, diesel subsidi ditahan

2 lelaki warga Filipina cuba seludup petrol, diesel subsidi ditahan

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup keluar minyak petrol dan diesel bersubsidi dalam operasi berhampiran muara Sungai Tambalugu, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 2.50 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 50 tahun turut ditahan selepas dikesan membawa keluar barang kawalan berkenaan dipercayai ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati bot pam tanpa nombor pendaftaran yang sarat dengan muatan mencurigakan.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot pam berkenaan dikendalikan oleh dua lelaki warga Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui muatan barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan dan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, antara yang dirampas, dua tong dram berwarna biru berisi 400 liter minyak petrol, 44 tong kecil berisi 1,320 liter minyak petrol dan 30 liter minyak diesel.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot yang digunakan barang kawalan berkenaan dianggarkan bernilai RM24,000.

“Kedua-dua suspek bersama bot dan semua barang rampasan terus dibawa ke jeti untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Maurice Grenville berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang salah laku jenayah di laut boleh membantu dengan memaklumkan kepada Maritim Malaysia.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) atau talian MERS 999 yang beroperasi 24jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|