129 PATI Filipina diusir pulang

129 PATI Filipina diusir pulang

Sandakan: Seramai 129 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina diusir ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

PATI warga Filipina diusir pulang melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua yang dipindahkan membabitkan seramai 81 lelaki, 25 wanita dan 23 kanak-kanak.

“Semua kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah penghantaran bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

JIM Sabah menghantar pulang seramai 129 warga Filipina ke negara mereka, hari ini

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|