UMS, ITBM jalin kerjasama berkaitan bidang terjemahan dan suntingan

UMS, ITBM jalin kerjasama berkaitan bidang terjemahan dan suntingan

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan kerjasama bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bertujuan untuk memperkasa bidang penterjemahan dan penyuntingan antara kedua-dua pihak.

Jalinan kerjasama tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, UMS.

Kasim (dua dari kiri) dan Sakri bertukar dokumen MoU.

UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menandatangani dokumen MoU tersebut, sambil disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Manakala, ITBM diwakili oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Sakri Abdullah dan disaksikan Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM, Nor Azanizan Anawar.

Kasim MoU berkata, kerjasama itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan bilangan penterjemah dan penyunting bertauliah dalam kalangan kakitangan akademik UMS.

“Kerjasama ini juga adalah bagi mengetengahkan UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

“Selain itu, kedua-dua pihak juga komited untuk memperkenalkan bidang dan kebolehan terjemahan dan suntingan sebagai satu kerjaya yang boleh dipercayai, berpotensi dan mampu memberi nilai tambah,” katanya dalam ucapan sempena majlis itu, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, UMS dan ITBM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam tiga perkara.

“UMS dan ITBM akan menganjurkan Bengkel Penterjemahan dan Penyuntingan untuk kakitangan akademik UMS bagi memperluaskan bilangan penterjemah bertauliah di UMS.

“Selain membangunkan dan mempromosikan UMS sebagai ITBM East Malay Hub termasuk penyediaan logistik dan khidmat kepakaran oleh ITBM.

“Perkara ketiga ialah dari aspek penerbitan buku, iaitu memberi pendedahan, latihan dan peluang kepada warga UMS untuk menerbitkan buku tanpa kerumitan proses penerbitan dan masalah kos,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menambah, pelbagai impak positif mampu terhasil daripada MoU UMS-ITBM tersebut.

“Skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dalam kemenjadian UMS sebagai salah satu hab khidmat terjemahan dan suntingan berkualiti dan secara tidak langsung membawa kepada peningkatan keterlihatan dan prestij universiti.

“MoU ini juga bakal mengeratkan hubungan antara UMS dengan ITBM agar dapat saling membantu dan berkongsi ilmu dalam menjayakan program-program yang dikenal pasti,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|