Kemeriahan pemilihan bukti UMNO masih relevan – Bung

Kemeriahan pemilihan bukti UMNO masih relevan – Bung

Kota Kinabalu: Pemilihan UMNO yang berlangsung serentak di seluruh negara disifatkan sebagai ‘kemeriahan demokrasi’ apabila ramai yang menawarkan diri bertanding walaupun parti itu dikatakan mengalami kemalapan kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan berkata, ia cukup menjelaskan yang UMNO masih relevan walaupun tanggapan setengah pihak UMNO khususnya di Sabah akan terkubur.

Bung memulakan proses pengundian untuk pemilihan UMNO 2023-2026, baru-baru ini.

Menurutnya, ia ekoran tindakan segelintar pihak yang berkepentingan meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain.

“Disebalik pelbagai andaian dan presepsi pihak tertentu yang menganggap UMNO kini memasuki zaman malap, namun ramai yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini termasuk golongan muda.

“Di mana sebilanganya telah dinobatkan sebagai Ketua Bahagian selepas pemilihan kali ini turut menjelaskan proses meremajakan parti dan penerimaan anak muda kepada UMNO masih relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan UMNO bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, baru-baru ini.

Mengulas kejayaan beliau mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi sesi 2023-2026 pada kedudukan yang terbaik iaitu di tempat kelima, Bung berkata sokongan serta kepercayaan dari perwakilan di seluruh negara datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi.

Selain Bung, turut mempertahankan jawatan AMKT Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua UMNO Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Mohd Raffi Datuk Alli Hassan yang mewakili UMNO Labuan.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan bahagian seluruh Malaysia kerana memberikan sokongan serta kepercayaan buat dirinya.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jentera kempen saya serta akar umbi yang telah bekerja keras sehingga mencapai kemenangan ini.

“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu dan memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi.

“Dan yang paling penting bagi saya membawa suara akar umbi ke peringkat kepimpinan tertinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli UMNO, khususnya selepas pemilihan ini agar memberikan keutamaan untuk mengembalikan semula perpaduan dalam parti.

“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling maafkan. Era baru dalam UMNO mesti kita mulakan dengan semangat baharu dan iltizam baru untuk kembali memperkasakan UMNO ke tempat sewajarnya,” katanya

Ketika diajukan soalan tentang beberapa kekecohan berlaku di beberapa bahagian semasa pemilihan kali ini, antaranya melibatkan pengurusan pengundian dengan jumlah mengundi melebihi dari daftar kehadiran, Bung berkata UMNO Sabah menerima laporan tersebut.

“Kita meminta agar aduan dibuat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat, lihak mereka akan meneliti setiap aduan yang dikemukanan dan akan menyiasat.

“Sekiranya berlaku perlanggaran perlembagaan dan peraturan mesyuarat tidak mustahil persidangan akan dibuat semula,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|