Pelantikan semula satu amanah, tanggungjawab yang besar – Bung Moktar

Pelantikan semula satu amanah, tanggungjawab yang besar – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pelantikan semula beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, datang dengan tanggungjawab dan amanah yang besar.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan turuz menzahirkan penghargaan kepada Presiden dan kepimpinan UMNO Pusat atas kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Menurutnya, ia di samping melantik beberapa pemimpin UMNO Sabah membarisi barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk sesi 2023-2026.

“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan perkara itu pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang pertama selepas pemilihan 2023, di bangunan UMNO Pusat Dangan Dunia Putra, kelmarin.

Menurut Bung, amanah dan tanggungjawab tersebut tidak akan membenihkan kejayaan kepada UMNO, khusunya di Sabah, tanpa kerja sama serta sokongan daripada pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat di negeri ini .

Oleh itu, beliau turut menyeru agar semua ahli UMNO bersatu sebagai sebuah keluarga besar dan saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut.

“InsyaAllah, kepercayaan serta amanah yang diberikan ini akan digalas sepenuhnya dengan memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti.

“Khususnya di Sabah, untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka kurang dua tahun dari sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setelah pemilihan parti baru-baru ini, mungkin ada rasa kecewa bagi mereka yang tewas dalam pertandingan.

Namun begitu, katanya, sudah tiba masa untuk semua bertaut kembali sebagai keluarga besar yang saling bahu membahu demi mengembalikan UMNO ke persada kepercayaan rakyat.

“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling memaafkan.

“Era baru dalam UMNO mesti kita mulakan dengan semangat baru, prinsip serta perjuangan parti jangan kita abaikan jika kita mahu dilihat sebagai sebuah parti yang berwibawa.

“UMNO merupakan sebuah keluarga besar tidak perlu wujudkan sentimen dia orang ini dan itu, kita perlu bersatu padu selepas pemilihan baru-baru ini.

“Fokus dan tumpuan kita untuk memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat agar tidak ada pihak memperlekahkan kewujudan UMNO yang turut menyumbangkan kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN ke-16,” katanya.

Selain Bung yang dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Ketua Umno bahagian Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.

Antara pemimpin UMNO Sabah yang turut dilantik ke jawatan AMKT termasuklah Ketua Umno bahagian Penampang, Datuk Mohd Asnol Datuk Ayub; Ketua Umno bahagian Kimanis, Datuk Mohd Alamin menjadi Ketua Sektretariat Kelab UMNO Luar Negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menjadi Ketua Sekretariat Pertanian Perladangan dan Komoditi, dan Datuk Yakub Khan menjadi Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Sabah

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|