UMNO Sabah ada maruah dan prinsip – Abdul Aziz

UMNO Sabah ada maruah dan prinsip – Abdul Aziz

Kota Kinabalu: Pemuda UMNO Sabah kesal dengan polemik politik sehingga membawa kepada penarikan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, ketika ini banyak versi yang cuba dimainkan bahawa UMNO Sabah seperti gila kuasa dan jawatan.

Namun katanya, hakikatnya, UMNO Sabah cuba berpegang teguh kepada setiap prinsip persefahaman antara tiga parti utama semasa PRN16 yang lalu.

“Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di bawah gabungan politik yang dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini didaftarkan sebagai parti politik berdaftar.

“Yang mana setiap komponen dalam gabungan ini berkongsi kuasa dan harus saling menghormati dalam membuat sesuatu keputusan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, perkongsian kuasa ini tercemar apabila ketua menteri bertindak memecat Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah tanpa berbincang dengan pemimpin utama BN Sabah.

“Yang lebih mendukacitakan apabila pemimpin-pemimpin UMNO Sabah cuba dilaga-lagakan dengan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada salah satu pemimpin utama negeri bagi menggantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Ke mana sudah hilangnya semangat perkongsian kuasa dan hormat-menghormati itu.

“UMNO Sabah juga mempunyai maruah politik. Kalau pemimpin yang diangkat menjadi ketua bertindak sesuka hati, sudah pasti UMNO Sabah akan bertindak balas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, setiap tindakan ada tindak balas, maka wajarlah untuk UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan pada hari ini.

“Nasihat kami buat ketua menteri, berlaku adillah dan jujur kepada rakan kongsi anda selepas ini. Pimpinlah negeri ini dengan baik dan teratur.

“UMNO Sabah akan menjadi pembangkang yang berhemah dalam melaksanakan semak dan imbang demi kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|