Tumpu kestabilan ekonomi negeri, baru ‘cerita’ politik

Tumpu kestabilan ekonomi negeri, baru ‘cerita’ politik

KOTA KINABALU: Semua pihak di Sabah diminta terus bertenang dalam menghadapi cabaran politik bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus mengukuh menjelang tahun hadapan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, apa yang penting adalah terus menyakinkan pelaburan ekonomi ke negeri ini dan mengelak sebarang konfrontasi melampau sehingga menyekat keyakinan para pelabur.

Pandangan beliau, pelbagai desas desus mengenai propaganda politik di Sabah yang semakin dimainkan di laman media sosial baru-baru ini meskipun tidak menjejaskan pengaruh kepada keyakinan pelabur ekonomi, namun ianya tidak boleh dibiarkan sehingga mampu menimbulkan persepsi negatif.

“Cabaran kemungkinan ketidak-tentuan ekonomi global, khususnya di negara ini pada tahun hadapan harus dilihat oleh para ahli politik sebagai asas peningkatan sikap lebih berhemah dan berhati-hati dalam apa sahaja gerakan atau aktiviti politik mereka.

“Ini termasuklah dalam sebarang ucapan politik mereka, kita di pihak akar umbi tidak lagi merasa selesa dengan sikap semberono aktor politik yang hanya merugikan negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata mengambil contoh sumbangan dividen RM138.7 juta oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun di Sabah baru-baru ini, Romzi berkata ianya boleh diambil sebagai penanda ukur kepada kekuatan ekonomi sedia ada yang dikawal oleh kerajaan hari ini.

“Kita boleh sahaja mengkritik setiap apa yang dilihat tidak baik bagi kita, namun jika ia melibatkan kepentingan ekonomi yang boleh dipengaruhi atas dasar-dasar politik, maka kita perlu bersetuju dengan kerajaan terutamanya dibawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Mengambil contoh sumbangan dividen oleh GLC yang memperlihatkan keupayaan stabil syarikat GLC di Sabah, program-program berbentuk ekonomi mapan dan pelan khusus SMJ yang memberi fokus kepada keusahawanan, maka kita perlu beri ruang sewajarnya ia direalisasikan demi kepentingan ekonomi negeri dan seterusnya menabur khidmat bakti kepada rakyat, ” katanya lagi.

Jelas Romzi, semua pihak diminta sabar menunggu masa yang sewajarnya untuk ‘berpencak’ di arena pilihanraya terutamanya menjelangnya pilihan raya negeri nanti yang dilihat merupakan masa yang ideal bagi pemain politik untuk mempengaruhi pengundi, seterusnya daya pengukur kekuatan politik parti masing-masing.

“Harapan rakyat secara keseluruhannya terhadap usaha pihak pemerintah menyediakan negeri dengan pendekatan sesuai menangani cabaran mendatang untuk kepentingan semua adalah amat tinggi.

“Justeru itu,kita berharap agar semua pihak tidak mengendurkan harapan tersebut dengan mengurangkan aktiviti politik yang tidak perlu dilakukan pada masa yang mencabar ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|