Usul pindaan parti antara tarikan PAT PGRS

Usul pindaan parti antara tarikan PAT PGRS

KOTA KINABALU: Satu usul pindaan perlembagaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) akan dibawa bersempena Persidangan Agung Tahunan (PAT) parti berkenaan pada 13 November hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, persidangan yang julung kali diadakan itu dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Banyak perkara kita akan bawa, satu antaranya ialah ucapan dasar Presiden.

“Satu usul pindaan kepada perlembagaan parti turut akan dibawa nanti dengan pembahas-pembahas daripada antara 73 Bahagian juga telah dipilih untuk membahas ucapan serta pindaan terbabit, “katanya.

Menurut beliau lagi, lebih 2,000 perwakilan daripada 73 Bahagian PGRS seluruh Sabah dijangka hadir pada persidangan tersebut.

“Kehadiran daripada 73 Bahagian seluruh Sabah dan Labuan akan hadir sebagai perwakilan serta pemerhati yang mana kita jangka lebih 2,000 orang akan hadir, jika ada pemerhati, jumlahnya mungkin lebih daripada itu.

“Setakat ini, tentang persiapan saya amat berpuas hati,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PGRS, di Kota Kinabalu, hari ini.

PAT berkenaan turut menyaksikan persidangan tahunan bagi sayap parti termasuklah pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis.

Untuk rekod, keahlian PGRS untuk seluruh Sabah telah mencapai lebih 236,000 ahli dengan sasarannya seramai 300,000 menjelang hujung tahun ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|