Tumpu isu banjir, kemudahan asas di Tenom – Riduan Rubin

Tumpu isu banjir, kemudahan asas di Tenom – Riduan Rubin

Tenom: Isu banjir dan kemudahan asas luar bandar tidak sempurna yang menjejaskan penduduk di daerah ini dan daerah kecil Kemabong perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, berkata banjir yang melanda setiap tahun di banyak kampung berhampiran Sungai Padas di daerah ini amat membebankan penduduknya.

Riduan (tengah) bersama pemimpin setempat menggaul Yee Sang pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tenom.

Beliau berkata, selain kerosakan harta benda, banjir turut merosakkan hasil pertanian dan membantutkan pengeluarannya menyebabkan penduduk mengalami kerugian yang besar setiap kali berlaku limpahan air sungai.

Katanya, banjir yang kerap berlaku juga merosakkan prasarana penting penduduk kampung terutama jalan raya menyebabkan perhubungan terjejas disebabkan keadaan jalan yang teruk.

Pada masa yang sama, katanya banyak lahi kemudahan asas lain seperti jalan raya yang perlu diberi perhatian di daerah ini, termasuk berkaitan kemudahan kesihatan, khususnya hospital yang juga perlu dinaik taraf.

“Banyak kemudahan infrastruktur di Tenom yang masih memerlukan perhatian terutama prasarana seperti hospital, jalan raya dan yang lain untuk dinaik taraf.

“Saya juga berharap kerajaan fokus kepada masalah banjir yang dihadapi masyarakat Tenom. Apabila banjir melanda Tenom dan Kemabong orang kampung banyak mengalami kerosakan hasil dan harta benda.

“Perkara ini berlaku saban tahun apabila banjir, jadi saya memohon kepada kerajaan agar peruntukan untuk tebatan banjir juga disediakan di Tenom dan Kemabong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tenom di Dewan Sekolah Menengah Tshung Tshin, Tenom, di sini, malam tadi.

Riduan menekankan isu banjir dan kemudahan asas menjadi perkara utama yang diberikan perhatiannya selaku Ahli Parlimen dalam usaha membawa pembaharuan dan kemajuan untuk keselesaan dan manfaat penduduk di daerah ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat Tenom juga berharap banyak lagi kemudahan lain termasuk perumahan mampu milik dibina di daerah ini untuk memenuhi keperluan penduduk.

“Kita mahu rakyat Tenom dapat menikmati kemudahan perumahan rakyat dan jalan raya yang selesa seperti di tempat lain.

“Ketika ini, kebanyakan projek seperti jalan raya tertumpu di kawasan yang sudah maju sedangkan di Tenom banyak jalan raya masih di takuk lama.

“Orang kampung tidak dapat mengeluarkan hasil pertanian akibat jalan yang teruk dan banjir. Jadi kita amat berharap kerajaan melihat keadaan ini supaya penduduk dapat mengeluarkan hasil tanaman dengan mudah,” katanya.

Beliau turut meminta agar jambatan kayu tang ada di daerah ini ditukar kepada jambatan konkrit agar mampu menampung kenderaan yang membawa muatan berat untuk memudahkan petani mengeluarkan hasil pertanian.

Perkara itu katanya penting memandangkan Tenom adalah sebuah daerah pertanian utama dan menjadi antara kawasan pengeluaran penting hasil pertanian di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|