‘Bangsa Tenom’ satukan semua kaum di Tenom

‘Bangsa Tenom’ satukan semua kaum di Tenom

Tenom: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin mencadangkan agar ‘bangsa Tenom’ dijadikan rujukan atau panduan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.

Beliau berkata, penggunaan istilah itu sebagai simbolik kesatuan dan perpaduan semua etnik dan kaum yang ada di daerah ini seperti Murut, Lundayeh, Dusun dan Cina.

Katanya, ‘bangsa Tenom’ menggambarkan penduduk daerah ini yang hidup bersatu padu, saling memahami dan menghormati satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum atau etnik.

“Walaupun di Tenom ini majoriti masyarakatnya Murut tetapi kita tetap sama, kita satu bangsa iaitu ‘bangsa Tenom’.

“Mereka yang lain-lain bangsa, Dusun, Murut, Cina, Lundayeh dan lain-lain akan rasa diri mereka satu tidak rasa berbeza kaum, hanya ‘bangsa Tenom,” katanya.

Persembahan paluan gendang Cina memeriahkan sambutan Tahun Baharu Parlimen Tenom di Dewan SM Tshung Tshin Tenom

Beliau berkata demikian pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tenom di Dewan Sekolah Menengah (SM) Tshung Tshin Tenom, di sini, malam tadi.

Riduan berkata perpaduan masyarakat berbilang kaum penting untuk mencapai tiga perkara iaitu kestabilan, kemakmuran dan kemajuan.

Jelasnya, kemajuan tidak akan dapat dicapai jika masyarakat yang berbilang kaum tiada persefahaman dalam apa saja perkara.

“Jadi kuncinya ialah perpaduan, ia perlu dipertahankan. Rakyat perlu merealisasikan perpaduan kaum,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap agar kebudayaan dan bahasa setiap kaum dapat dipelihara serta diwariskan dari satu generasi ke generasi lain.

Riduan bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tenom di Tenom.

Katanya, banyak kebudayaan etnik seperti tarian singa oleh masyarakat Cina dan paluan gong etnik tempatan memiliki nilai budaya yang tinggi untuk dikekalkan sepanjang zaman.

“Kita mahu kebudayaan ini diwarisi dan dikekalkan sepanjang zaman supaya generasi akan datang dapat melihat kebolehan ini masih ada.

“Kita mahu juga bangsa lain memahami dan merasai betapa uniknya kebudayaan tradisi di Tenom. Sebab itu saya meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama kita semua tanpa kira bangsa, kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk memartabatkan bahasa ibunda setiap etnik termasuk bahasa Cina.

Katanya, bahasa setiap etnik juga wajar dipelajari seperti bahasa Cina kerana mempunyai penutur yang ramai di seluruh dunia, malah tidak mustahil menjadi bahasa utama dunia selain bahasa Inggeris pada masa akan datang.

Terdahulu, mengenai sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Tenom, Riduan berkata ia adalah acara penting dan amat bermakna kepada masyarakat Cina dan semua penduduk di daerah ini termasuk dirinya.

Lebih bermakna, katanya kehadiran tahun arnab dalam kalender Cina pada tahun ini bersesuaian dengan dirinya kerana turut dilahirkan pada tahun arnab.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|