Kekalkan kestabilan negeri hingga tamat penggal DUN Ke-16

Kekalkan kestabilan negeri hingga tamat penggal DUN Ke-16

Kota Kinabalu: Kestabilan Kerajaan Negeri Sabah perlu dikekalkan sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 tamat.

Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jamain Sarudin, berkata ia untuk memberi peluang kepada kerajaan merealisasikan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) menjelang tahun 2025.

Katanya, ribut dalam cawan telahpun reda apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyusun semula pentadbiran negeri termasuk merombak kabinet pada 11 Januari lalu.

“Masa ini bukan masa berpolitik, akan tetapi masa bekerja untuk menunaikan janji-janji pilihan raya negeri pada September 2020.

“Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berada pada landasan betul, seperti mana dibuktikan menerusi kutipan hasil negeri pada 2022 yang berjumlah RM6.97 bilion,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata era kepemimpinan negeri pada masa ini bukan sahaja memastikan isu-isu tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan, malah merealisasikannya.

Jelasnya, antara pencapaian kerajaan hari ini ialah peningkatan Geran Khas Persekutuan yang naik berkali ganda iaitu RM260 juta bagi tahun ini dan dijangka akan terus meningkat menjelang 2026, apabila formula pengiraan dimuktamadkan.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi kepercayaan kepada kepemimpinan negeri untuk terus mengurus negeri tanpa gangguan atau campur tangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|