Kota Kinabalu: Pengarah Eksekutif Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Mohd Shukor Mumin menafikan sekeras-kerasnya tohmahan dan penulisan yang dibuat terhadapnya oleh penulis dua blogger, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis terhadap penulis dua blogger berkenaan membabitkan artikel yang berunsur fitnah dan berniat jahat ke atas dirinya.
“Sebentar tadi saya sudah membuat satu laporan polis agar penulisan ini disiasat. Ia sama sekali tidak tepat, berunsur fitnah dan berniat jahat.
“Mereka mendakwa saya menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam penjualan anak syarikat QSB, selain melantik anak saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat Qhazanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mendedahkan identiti penulis berkenaan kerana ia masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 499 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.
“Segala tuduhan yang terkandung di dalam artikel-artikel tersebut adalah tidak tepat sama sekali dan berniat jahat.
“Saya sudah serahkan laporan polis saya sebentar tadi dan serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan terperinci.
“Untuk dakwaan salah guna kuasa dan juga amalan rasuah, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat siasatan mereka ke atas dakwaan yang dilemparkan terhadap diri saya.
“Akhir kata, apa yang benar akan sentiasa benar dan apa yang salah tidak akan pernah menjadi benar,” katanya.
-Deasoka