Banjir: Mangsa banjir di PPS turun kepada 738 orang petang ini

Banjir: Mangsa banjir di PPS turun kepada 738 orang petang ini

Kota Kinabalu: Setakat jam 4 petang, jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir di negeri ini telah menurun kepada hanya 738 mangsa daripada 212 Ketua Isi Rumah (KIR).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, ia merupakan penyusutan yang ketara, berbanding 1,532 mangsa daripada 560 KIR yang dilaporkan pagi tadi.

“Berikutan penurunan jumlah mangsa banjir, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditutup, iaitu SK Pekan 2 di Pitas.

“Ini membawa jumlah keseluruhan PPS yang masih aktif menempatkan mangsa banjir sebanyak 13 buah.

“Di Paitan, hanya tiga PPS yang masih beroperasi iaitu Dewan SMK Pamol, Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos dan Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan.

“Manakala di Pitas dan Lahad Datu masing-masing mempunyai sebuah PPS yang masih aktif, iaitu Dewan Kg Kusilad dan Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, katanya, di Telupid terdapat lapan PPS yang masih beroperasi, iaitu Dewan Kg Bauto, Dewan Rancangan Nangoh, Dewan Kg Mauu dan Masjid (Lama) Gana Jati.

“Selain itu ialah Balai Raya Kg. Pinunuanakan, Dewan Kg Bambangan, Dewan Orang Ramai Kg Kiabau dan Dewan Kg Bakong-Bakong,” katanya.

Untuk rekod, empat daerah yang masih terjejas ialah Telupid (400 mangsa), Pitas (184 mangsa), Paitan (111 mangsa) dan Lahad Datu (43 mangsa).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|