JSJ Sabah rekod pencapaian tempat keempat terbaik dalam penyelesaian kes

JSJ Sabah rekod pencapaian tempat keempat terbaik dalam penyelesaian kes

Kota Kinabalu: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah mencatatkan kedudukan empat terbaik dengan penyelesaian di seluruh negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris
Abdullah berkata, pencapaian itu berdasarkan penyelesaian membabitkan 75.68 peratus kes yang diterima sepanjang tahun 2022.

“Peratusan ini meletakkan IPK Sabah pada kedudukan ke empat dalam ranking penyelesaian kes jenayah di seluruh negara selepas kontijen Sarawak, Kedah dan Perlis.

“Tahniah diucapkan kepada seluruh warga JSK yang berusaha memberikan pencapaian terbaik dan diharap ia dapat ditambahbaik lagi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Idris berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya merekodkan peningkatan jenayah indeks iaitu sebanyak 19.41 peratus membabitkan 4,103 kes berbanding 3,436 kes pada tahun 2021.

Katanya, bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula mencatatkan peningkatan bilangan tangkapan iaitu sebanyak 13,600 tangkapan berbanding 8,758 pada tahun sebelumnya.

“Manakala, nilai rampasan dadah pula menunjukkan penurunan iaitu sebanyak RM6.09 juta berbanding RM17.4 juta pada tahun 2021.

“Usaha secara agresif ini perlu dilakukan dengan meningkatkan ‘Intelligent’ dan operasi bersepadu bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan pusat transit dadah ke rantau Asia Pasifik,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), IPK Sabah merekodkan penurunan kes dengan 7,025 kes berbanding 7,766 kes pada tahun 2021.

Namun katanya, nilai kerugian kes komersil meningkat kepada RM98.3 juta berbanding RM60.5 juta pada tahun sebelumnya.

“Tindakan agresif bagi kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian yang besar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|