TUBE rekod RM20.65 juta nilai jualan

TUBE rekod RM20.65 juta nilai jualan

KOTA KINABALU: Sejumlah RM20.65 juta nilai jualan telah berjaya direkodkan oleh Alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Negeri Sabah.

Program TUBE yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia, bermatlamat menggalakkan Belia Bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.

Secara keseluruhan nilai jualan terkumpul yang dicatatkan oleh peserta TUBE dari seluruh negara adalah sebanyak RM154.38 juta.

Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah bertempat di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, hari ini dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Persatuan Tunas Usahawan Sabah (PANTAS) yang dihadiri seramai 120 peserta ini bertujuan menyediakan latihan lanjutan serta mendapatkan maklumbalas dan status terkini perniagaan Alumni TUBE.

Peserta yang hadir juga diberikan taklimat mengenai kemudahan pembiayaan lain yang ditawarkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, perkongsian kisah kejayaan perniagaan oleh Alumni TUBE Sabah di samping peluang pasaran menerusi jaringan perniagaan dalam kalangan peserta.

Dalam ucapan perasmiannya, Ewon turut menyentuh dasar komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul.

“Tumpuan khusus diberikan kepada golongan belia yang merupakan penyambung warisan dan harapan bangsa untuk terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan.

“Bagi pembangunan keusahawanan belia di bawah KUSKOP, sebagaimana pengumuman Belanjawan MADANI 2024 yang lalu, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk meneruskan Program TUBE di bawah SME Corp.

Malaysia manakala RM10 juta untuk membiayai Skim TEKUN BeliaMobilepreneur sebagai modal anak muda yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan platform digital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia; Rizal Nainy berkata,  sejak mula dilancarkan pada tahun 2014 hingga kini, sebanyak 7,738 usahawan belia telah berjaya dilatih di bawah program TUBE dengan geran perniagaan berjumlah RM103.88 juta.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,444 peserta (18.6 peratus) peserta adalah dari negeri Sabah, melibatkan penyaluran geran permulaan perniagaan sebanyak RM15.42 juta (15.2 peratus) dari jumlah keseluruhan penyaluran geran permulaan perniagaan.

“Berbanding negeri lain, Sabah mempunyai bilangan peserta yang tertinggi dan sehingga kini juga, seramai 7,040 peserta TUBE telah mendaftarkan perniagaan masing-masing dan berjaya mewujudkan sebanyak 13,866 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis yang sama, Ewon turut menyampaikan replika cek kepada 10 peserta TUBE 9.0 serta melancarkan Program Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI).

Program BMFI yang dilaksanakan dengan kerjasama Funding Societies merupakan program pembiayaan khas kepada Alumni TUBE yang ingin mengembangkan perniagaan dengan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|