Gas ammonia bocor, seorang maut, 17 lagi di hospital

Gas ammonia bocor, seorang maut, 17 lagi di hospital

Sandakan: Seorang maut manakala 17 lagi masih menerima rawatan di hospital dalam insiden kebocoran gas ammonia di sebuah kilang berhampiran Batu Tiga, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, mangsa, lelaki tempatan berusia 40 tahun dipercayai ‘terkena’ gas berkenaan dan ditemukan dalam tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Malek (gambar di bawah) berkata, siasatan awal pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian mesin ais pecah dan berlaku kebocoran gas ammonia di lokasi berkenaan.

“Polis mendapati pada masa kejadian, seorang mekanik dibantu oleh tujuh orang pekerja lain sedang membuat penyelanggaraan mesin pemotong ais.

“Ketika menjalankan kerja-kerja penyelengaraan, sebatang paip sistem penyejukan telah bocor dan menyebabkan gas ammonia dalam keseluruhan tiub sistem penyejukan menyembur keluar.

“Seorang pekerja lelaki tempatan berumur 40 tahun yang berada berhampiran paip yang bocor telah terkena gas ammonia dan tidak sedarkan diri, kemudiannya dibawa oleh pihak ambulans ke hospitaldan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,”katanya.

Menurut beliau, seramai 18 orang pekerja berumur 21 hingga 55 tahun sedang bekerja di kilang berkenaan pada masa kejadian berlaku.

“17 orang pekerja kini sedang menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

“Pihak Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian, siasatan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|