Tiada sekolah daif tercicir – KPM

Tiada sekolah daif tercicir – KPM

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan tiada sekolah atau institusi pendidikan daif milik KPM di Sabah tercicir daripada menerima peruntukan.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya akan memastikan agihan peruntukan dalam Belanjawan 2023 bagi mengatasi masalah bangunan daif itu dibuat dengan adil.

“Kita sedang melihat dan melakukan unjuran supaya pembahagian itu adil. Kita akan pastikan semua akan dapat, cuma unjuran akan melihat beberapa formula untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam senarai.

“Namun, yang menerima itu pastinya yang betul-betul memerlukan,” katanya selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen Pembelajaran Digital anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata, sebanyak RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah termasuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata pihaknya akan menyegerakan pengagihan 50,000 komputer riba yang dibekalkan kepada sekolah dan institusi KPM seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023 semalam.

Katanya, pengagihan komputer riba itu juga adalah antara usaha kementeriannya dalam mengatasi masalah ‘kemiskinan peranti’ yang dialami sektor pendidikan dalam mengembangkan kaedah pembelajaran digital.

Tambahnya, kemiskinan peranti adalah antara aspek dalam rangka kemiskinan multi dimensi yang diberi perhatian oleh kerajaan termasuk di KPM.

“Pertama ialah kemiskinan peranti. Dalam pembentangan belanjawan semalam, Perdana Menteri putuskan 50,000 diberi kepada institusi KPM dan sekolah.

“Cuma saya belum tahu beri berapa kepada Sabah, tapi kita pakatlah, berapa yang dapat syukur. Dalam belanjawan akan datang kita ‘fight’ lagi,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023 semalam, Perdana Menteri menyifatkan pengagihan komputer riba itu penting selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan
pembelajaran guru agar segera beradaptasi dengan teknologi digital.

Selain itu, Fadhlina berkata KPM turut memberi tumpuan terhadap aspek kemiskinan malnutrisi yang merujuk kepada masalah kurang nutrisi dalam kalangan kanak-kanak, khususnya di peringkat pra sekolah.

Menerusi aspek itu, katanya KPM akan meneliti rancangan makanan tambahan kanak-kanak berdasarkan peruntukan yang disediakan menerusi Belanjawan 2023.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|