Sabah FC tewaskan PDRM 4-0

Sabah FC tewaskan PDRM 4-0

Kota Kinabalu: Sabah FC membenam PDRM FC 4-0 pada aksi pertama Liga Super 2023 di Stadium Likas, malam ini.

Paling menyerlah Saddil Ramdani yang meledak dua gol pada minit ke-12 dan ke-71.

Dua gol lagi masing-masing dijaringkan Park Taesu pada minit ke-36 dan Stewart John Wilkin pada minit akhir perlawanan.

Skuad Sang Badak bagaimanapun berdepan situasi berbahaya pada minit awal permainan berikutan tindakan agresif penyerang import PDRM, Agba Uche pada minit ke-10 dan ke-11.

Uche bagaimanapun gagal menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Sejurus selepas itu, Sang Badak menyerang balas sebelum Saddil meledak gol pertama pada minit ke-12.

Sabah kemudian menambah gol kedua pada minit ke-36 menerusi jaringan Park Taesu sekali gus meletakkan skuad Sang Badak pada kedudukan selesa 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Beralih ke babak kedua, Sabah FC kekal menguasai permainan tanpa memberi peluang kepada PDRM untuk mencipta jaringan.

Skuad Sang Badak bagaimanapun berdepan cabaran menambah gol berikutan pertahanan PDRM yang tidak memberi laluan mudah.

Namun, kelalaian pertahanan PDRM kemudian membuka peluang kepada Saddil meledakkan gol keduanya pada minit ke-71 menjadikan Sabah di hadapan dengan 3-0.

Seterusnya, Sabah menutup perlawanan dengan satu lagi gol pada minit ke-93 menerusi Stewart John Wilkin.

Kemenangan 4-0 ke atas PDRM malam ini sekali gus meletakkan Sabah di kedudukan yang baik dalam aksi permulaan Liga Super 2023.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|