40 kanak-kanak sertai Program Sunathon anjuran Hospital Pakar KPJ Sabah

40 kanak-kanak sertai Program Sunathon anjuran Hospital Pakar KPJ Sabah

Kota Kinabalu: Seramai 40 kanak-kanak menyertai Program Sunathon (Berkhatan) beramai-ramai sempena cuti sekolah anjuran Hospital Pakar KPJ Sabah.

Peserta terdiri daripada mereka yang berumur antara 6 hingga 15 tahun daripada Rumah Anak Yatim & Asnaf As Sakinah Kinarut Papar, Rumah Zakaria Al Hafiz Mindanao Tanjung Aru, Sekolah Rendah Kebangsaan St. Agnes Likas serta anak-anak staf KPJ Sabah.

Yahya (tengah) bersama peserta Majlis Sunathon.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin berkata, penganjuran program itu mampu meningkatkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan di kalangan masyarakat setempat.

“Di samping membuktikan bahawa masyarakat kita masih boleh bersatu atas nama kepentingan bersama, terutamanya apabila membabitkan tuntutan ataupun syariat agama dan juga adat budaya bangsa.

“Semoga program ini dapat memberikan pengalaman manis sekaligus mengurangkan rasa debaran dan gemuruh anak-anak yang terlibat dan golongan ibu bapa yang datang menemani anak mereka pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Program Sunathon (Berkhatan) Amal 2023 di Lobi A, Hospital Pakar KPJ Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak, terutama ahli jawatankuasa penganjur dalam menganjurkan Program Khatan Amal untuk anak-anak golongan Asnaf serta masyarakat sekitar.

“Saya gembira untuk hadir, bersama dengan semua hadirin ke acara yang paling popular dan cukup sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu Islam terutamanya, lagi-lagi ketika tibanya musim cuti sekolah.

“Seperti yang dimaklumkan oleh pihak penganjur, penganjuran Program Sunathon ini adalah merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihak Hospital Pakar KPJ Sabah.

“Dengan objektif utama menyasarkan penyertaan daripada golongan dan keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Sabah, Profesor Datuk Dr. Ajaz Ahmad bin Nabijan; Pengurus Besar KPJ Sabah, Mohamad Faizal Mohamed dan para doktor pakar KPJ Sabah.

Program ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah dan pihak KPJ Sabah berharap untuk terus menganjurkan program tersebut pada tahun hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|