Tiada apa-apa berlaku, hanya bincang masa depan parti – Bung Moktar

Tiada apa-apa berlaku, hanya bincang masa depan parti – Bung Moktar

Kota Kinabalu: “Hanya bincang masa depan parti,” kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditanya mengenai perjumpaan bersama pemimpin UMNO negeri, di Ibu Pejabat UMNO Sabah, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, tiada apa-apa yang berlaku, sebaliknya ia hanya mesyuarat atau pertemuan biasa bersama pemimpin UMNO negeri.

“Tiada apa-apa hanya ‘meeting-meeting’ (perjumpaan) saja. Kami bincang mengenai masa depan parti,” katanya ketika meninggalkan Bangunan UMNO Sabah bersama pemimpin UMNO negeri yang lain.

Pertemuan itu mengundang spekulasi mengenai kononnya bakal berlaku pertukaran kerajaan negeri menerusi kerjasama UMNO Barisan Nasional (BN) dengan Parti Warisan (WARISAN) yang turut difahamkan mengadakan perjumpaan di lokasi berasingan, petang ini.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut dijadualkan mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang tadi dipercayai berkaitan perkara yang sama, namun sidang media itu ditangguhkan.

Khabar angin mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan negeri atau Ketua Menteri tersebar hari ini berikutan kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Masidi Manjun malam tadi mengenai kesediaan GRS membuktikan keabsahan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jika ada keperluan.

Mohd Shafie dan beberapa pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan (PH) Sabah turut dikhabarkan mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, siang tadi dipercayai ada kaitan dengan pertukaran kerajaan negeri atau Ketua Menteri.

Kenyataan Masidi itu itu berikutan khabar angin ada pihak tertentu yang mendakwa memperolehi sokongan lebih separuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membolehkan kumpulan berkenaan menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang baharu.

Ia juga dipercayai ada kaitan dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kedudukan Hajiji tergugat selepas beliau bersama semua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah mengumumkan keluar parti baru-baru ini dan menjadi ahli individu dalam GRS.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid, berkata pertemuan pemimpin UMNO Sabah petang tadi adalah perjumpaan biasa bagi membincangkan hal parti di negeri ini.

“Bung Moktar juga tidak akan hadir pada sidang media bersama WARISAN seperti dikhabarkan pihak tertentu. Selepas mesyuarat, beliau terus balik untuk menghantar isteri dan ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang akan menunaikan umrah.

“Ketika mesyuarat, semua pemimpin UMNO Sabah ada bersama dan tiada yang menyertai perjumpaan dengan WARISAN seperti dikhabarkan pihak tertentu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|