Tawaran program pengajian baharu di UMS

Tawaran program pengajian baharu di UMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menawarkan tiga program pengajian baharu iaitu Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian (Perladangan Persis Pintar), Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan dan Asasi Sains Pertanian sebagai usaha memantapkan program-program bersifat akademik.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, bagi menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memantapkan program-program akademik di universiti awam, UMS telahpun mengorak langkah untuk sentiasa memastikan program-program yang ditawarkan memenuhi keperluan industri sama ada dalam sektor awam atau swasta.

“Dalam sektor keselamatan makanan atau food security, UMS telah mendapat kelulusan untuk menawarkan program baharu iaitu Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian (Perladangan Persis Pintar) yang merupakan suatu program bagi memastikan teknologi terkini diaplikasi bagi menjamin kelestarian pertanian untuk bekalan makanan negara dapat dijamin.

“Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) juga telah mengorak langkah ke hadapan di mana program baharu Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan turut mendapat kelulusan.


“UMS turut diberi kebenaran untuk menawarkan program Asasi Sains Pertanian bermula sesi akademik 2024/2025 bagi memastikan pengambilan pelajar ke program-program pertanian dapat dipertingkatkan,” katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen UMS ke-25 di Dewan Canselor kelmarin.


Tambah beliau, program yang ditawarkan ini adalah unik dan satu-satunya ditawarkan di negara ini kerana ia membenarkan pengambilan pelajar lepasan SPM dari aliran sastera yang ada mengambil subjek sains dan matematik layak untuk memohon dalam program ini.

“Justeru, ia akan membuka peluang yang luas bagi pelajar aliran sastera khususnya
anak-anak di Sabah untuk mengikuti program pertanian.

“Untuk jangka masa panjang, saya yakin UMS mampu menyediakan modal insan
berkepakaran dalam bidang pertanian,” katanya.

Ketika majlis tersebut, beliau turut menyampaikan ijazah kepada graduan Fakulti
Sains dan Sumber Alam; Fakulti Perhutanan Tropika; Fakulti Pertanian Lestari; Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, termasuk juga Pusat Luar UMS yang berjumlah 805 graduan.

Pada Majlis Konvokesyen UMS ke-25, sebanyak 4,236 graduan menerima ijazah
sepanjang 4 hari majlis ini berlangsung dari 11 hingga 14 Disember 2023.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|