Tapak pelupusan sampah kayu madang terbakar

Tapak pelupusan sampah kayu madang terbakar

Kota Kinabalu: Tapak pelupusan sampah di kawasan Kayu Madang, Jalan Salut, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kebakaran membabitkan keluasan 4,645 meter persegi berkenaan, bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.03 pagi.

Katanya, sepasukan 19 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dan Lintas terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dilakukan menggunakan tiga aliran dari sumber air dari tangki jentera.

“Operasi turut dibantu jentera excavator dari Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 3 pagi daripada terus merebak ke kawasan yang lebih luas.

“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.16 pagi” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|