Armizan, Ewon temui SLS dan peguam PH Sabah bincang isu MA63

Armizan, Ewon temui SLS dan peguam PH Sabah bincang isu MA63

Kota Kinabalu: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengadakan perbincangan bersama pakar perundangan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kedua-dua mereka membincangkan perkara itu pada pertemuan dengan Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Roger Chin dan peguam Pakatan Harapan (PH) Sabah, Nelson W Angang, di sini, semalam.

Perbincangan itu adalah antara usaha yang diinisiatifkan mereka berdua selaku wakil Sabah dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan persekutuan ke arah menyegerakan penyelesaian isu MA63 yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Armizan yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala Ewon mewakili PH Sabah senada berhubung tuntutan pelaksanaan MA63 yang diletakkan sebagai agenda penting yang sudah lama dinantikan rakyat Sabah.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan komitmen tinggi dalam memastikan hak-hak Sabah dapat dikembalikan,” kata mereka dalam satu kenyataan, di sini.

Armizan berkata, komitmen Kerajaan Perpaduan dalam penyelesiaan tuntutan MA63 ditunjukkan menerusi penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri bagi membincang dan menyelesaikan isu berkaitan perjanjian itu.

Aramizan dan Ewon yakin penubuhan majlis tindakan itu akan memudahkan lagi segala urusan perbincangan secara terperinci untuk mendapatkan kembali hak-hak Sabah dan Sarawak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|