Kota Kinabalu: Seramai 19 peserta berjaya menamatkan kursus Kejurulatihan futsal tahap satu, yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, semalam.
Kursus anjuran Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Asean Football Confederation (AFC) serta UMS.
Ia dikendalikan bekas jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong yang kini berperanan sebagai AFC Elite Futsal Instruktor.
Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom berkata, perkembangan bidang kejurulatihan futsal ini perlu diteruskan setiap tahun bagi memberi satu nilai tambah kepada para peserta.
Katanya, SAFA akan terus menyokong usaha ini dengan menganjurkan kejohanan sirkit dan liga futsal antara zon serta grand final tahun ini.
“Ia juga akan diteruskan dengan penganjuran kejohanan futsal bawah 12 tahun dan pelbagai kejohanan lain mengikut kesesuaian.
“Semua usaha ini adalah bagi menumpukan pembangunan akar umbi dalam melahirkan pemain futsal yang bertaraf antarabangsa di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus yang berakhir, semalam.
David berkata, pasukan futsal Sabah akan menyertai kejohanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) tahun ini.
Katanya, ia membabitkan dua kategori lelaki dan wanita yang dijangkakan berlangsung pada bulan Februari dan Mei tahun ini.
Sementara itu, Pegawai Belia Dan Sukan Kanan UMS, Azman Soaibah berkata, kursus kejurulatihan itu berlangsung selama enam hari bermula 8 Januari lalu.
Katanya, ia bertujuan memberikan ruang dan peluang kepada jurulatih di negeri ini bagi menambah ilmu selain pengiktirafan sebagai jurulatih untuk pasukan kelab, daerah dan negeri khususnya.
“Kursus yang diadakan secara teori dan praktikal itu antara lain bagi menyokong minat mereka terhadap kejurulatihan dalam sukan bola sepak futsal.
“Ia juga bagi memastikan para peserta mempunyai pengetahuan dan pengalaman bagi mendalami ilmu kejurulatihan secara dekat sebelum mengembangkan karier dalam kejurulatihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azman berkata, antara pengisian program adalah aspek permainan seperti prinsip kemahiran pengawalan bola, pertahanan, penjaga gol dan lain-lain.
Katanya, ia juga ditekankan dengan sejarah futsal termasuk peraturan permainan, proses dan tingkah lakunya.
“Pada akhir kursus ini, peserta turut diminta untuk membentangkan hasil dapatan masing-masing serta menjalani ujian teori dan praktikal,” katanya.
-Deasoka