TANOM bebas di udara

TANOM bebas di udara

Kota Kinabalu: Tiga Helikopter Operasi Maritim (HOM) giat melaksanakan rondaan di sekitar daerah bagi meningkatkan kecekapan warga Skuadron 503 dalam penerbangan, taktikal dan komunikasi.

Aset HOM milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenaan terlibat dalam latihan ‘flypast’ itu bagi menyertai perbarisan akan datang.

Ketiga-tiga HOM giat laksanakan rondaan di sekitar Kota Kinabalu.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, perolehan aset udara itu adalah bagi memenuhi keperluan semasa operasi udara TLDM.

Katanya, ia selari dengan misi memperkasa pengawasan terutamanya di kawasan maritim Sabah dan Sarawak.

“Ia juga melengkapkan kontrak perolehan tiga helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020.

“Ketiga-tiga HOM AW139 didaftarkn dengan menggunakan callsign atau nama panggilan ‘TANOM’ yang sinonim dengan pahlawan Murut iaitu Antanom,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Reza berkata, nama panggilan itu diberikan sebagai mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian etnik serta semangat kepahlawanan di Sabah.

“Skuadron 503 yang mengoperasikan HOM AW139 turut menggunakan cogan kata ‘Monoluku Momurias’ yang membawa maksud ‘menjejak menggempur’ dalam Bahasa Dusun,” katanya.

Terdahulu, Skuadron 503 memperoleh HOM ketiga iaitu Agusta Westland 139 dengan ‘callsign’ TANOM pada 3 November tahun lalu.

Manakala dua lagi HOM AW139 diterima pada April 2022 dan dioperasikan secara rasmi mulai 1 Julai lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|