Tangan sangkut dalam kotak pembesar suara

Tangan sangkut dalam kotak pembesar suara

Kota Kinabalu: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa dibantu pasukan bomba selepas tangannya tersekat pada kotak pembesar suara dalam kejadian di Taman Kinamount, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kanak-kanak berusia lingkungan tiga tahun terbabit dikatakan memasukkan tangan pada kotak pembesar suara.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat mengeluarkan semula tangannya sehingga memaksa ahli keluarganya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.41 petang.

Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan kanak-kanak yang tersangkut pada kotak pembesar suara

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi terus bertindak membantu mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|