Banjir: Jumlah mangsa dipindahkan ke PPS terus menurun

Banjir: Jumlah mangsa dipindahkan ke PPS terus menurun

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini meneruskan trend penurunan, setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, hanya 599 mangsa daripada 183 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporjan berada di PPS pagi ini.

Situasi semasa di salah sebuah PPS di Telupid yang menempatkan mangsa terjejas banjir.

Menurutnya, ia satu penurunan yang signifikan berbanding 738 mangsa daripada 212 KIR yang dilaporkan pada jam 4 petang semalam.

“Kesemua mangsa yang terjejas kini ditempatkan di 13 PPS yang masih beroperasi, sehingga keadaan diisytiharkan pulih.

“Terdapat sembilan PPS yang aktif di Telupid, antaranya ialah Dewan Kg Bauto, Dewan Kg Bambangan, Dewan Rancangan Nangoh dan Dewan Kg Bakong-Bakong.

“Sementara tiga PPS dibuka di Paitan iaitu Dewan SMK Pamol, Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos dan Pusat Komuniti Masyarakat Daerah Kecil Paitan.

“Manakala, hanya satu PPS aktif di Lahad Datu, iaitu Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, tiga daerah yang masih terjejas ialah Telupid (443 mangsa), Paitan (111 mangsa) dan Lahad Datu (45 mangsa).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|