Tenom: Bekas pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tenom hari ini menyatakan kesediaan untuk menyertai parti tempatan baharu yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menerusi satu kenyataan hari ini, bekas Ketua Bahagian BERSATU Tenom, Datuk Rubin Balang, berkata keputusan itu dibuat pada perjumpaan terakhir pimpinan BERSATU Tenom, di sini, semalam.
Katanya, pada pertemuan itu, mereka membincangkan hala tuju perjuangan politik membela rakyat Sabah dan memutuskan untuk beralih kepada parti Sabah sendiri atau tempatan.
Jelasnya, ia sejajar aspirasi rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan supaya perjuangan menuntut hak rakyat Sabah berkesan, selain bertujuan menyatupadukan rakyat Sabah demi masa depan yang lebih cerah.
“Justeru itu, kami bersedia untuk menyertai sebuah parti tempatan Sabahan yang akan diasaskan oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ini kerana kami lebih yakin dengan ketokohan kepimpinan beliau untuk menyusun semula sistem, hak keadilan rakyat asli tempatan Borneo Utara (Sabah) serta rakyat jelata Sabah dan mengharapkan yang terbaik malah lebih baik dari Sarawak,” katanya.
Hadir sama pada pertemuan itu ialah bekas Ketua Bahagian BERSATU Tenom, Hassan Basri; bekas Naib Ketua Bahagian, Jimmy Jawatah; bekas Ketua Srikandi Tenom, Sabini Ansumor dan semua bekas jawatankuasa pimpinan bahagian BERSATU Tenom.
Pada akhir pertemuan itu, Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong bersama bekas barisan pimpinan BERSATU Tenom merakamkan terima kasih kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua pimpinan tertinggi parti itu.
“Bak kata pepatah Melayu ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’. Salam perjuangan bersama kita membina semula Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Hajiji mengumumkan bakal mengetuai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai landasan baharu politik tempatan di negeri ini bersama parti tempatan lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
-Deasoka