Tamu Gum-Gum bakal berwajah baharu

Tamu Gum-Gum bakal berwajah baharu

Sandakan: Tamu Gum-Gum Batu 16, dekat sini bakal berwajah baharu apabila kerja menaik taraf tapak tamu berkenaan siap nanti.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata projek menaik taraf sudah diluluskan pada tahun lalu dengan kos RM2.5 juta dari Kerajaan Persekutuan.

Suhaimi meninjau Dewan Gum-Gum yang akan dinaik taraf.

Katanya, projek yang dilaksanakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu akan dimulakan pada tahun ini.

“Setelah siap dinaik taraf, pasar tamu ini akan memberi manfaat dan keselesaan kepada peniaga serta pengunjung.

Pelan tapak Tamu Gum-Gum apabila siap dinaik taraf nanti.

“Selain itu, penaiktarafan pasar tamu ini juga akan meningkatkan pendapatan peniaga dan petani untuk memasarkan produk agro makanan bagi membantu pengusaha kecil memasarkan hasil keluaran sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak tamu berkenaan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Suhaimi berkata, kerja-kerja menaik taraf Dewan Gum-Gum Batu 16 yang bernilai RM450,000 juga akan dilaksanakan.

Mengenai isu lalu lintas di bulatan berhadapan dengan Tamu Gum-Gum, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengkaji semula aliran lalu lintas di laluan berkenaan.

Katanya, langkah pembaikan lalu lintas akan dilaksanakan bagi mengatasi kesesakan yang sering berlaku di bulatan berkenaan ketika waktu puncak.

“Saya juga mengharapkan dan insyAllah dalam tahun ini, Kampung Gum-Gum ini ada perubahan yang drastik terutama sekali pembangunan rumah kedai yang kini dalam pembinaan yang bakal menempatkan sebuah pasar raya, bank dan lain-lain.

“Selain Pasaraya Servay yang telah bersetuju membuka perniagaannya di bangunan rumah kedai baharu itu, dalam masa terdekat ini saya akan bertemu dengan beberapa pihak lagi untuk membuka perniagaan mereka di kawasan ini.

“InsyAllah dengan pembangunan yang kita rancang akan dapat dilaksanakan dalam waktu terdekat ini walaupun masa sekarang ini senario politik yang tidak stabil tetapi kestabilan itu akan kita nikmati melalui pembangunan yang kita rancang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|