MAFFI tubuh 2 jawatankuasa mantapkan keterjaminan makanan negeri

MAFFI tubuh 2 jawatankuasa mantapkan keterjaminan makanan negeri

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) menubuhkan dua jawatankuasa jaminan makanan sebagai usaha ke arah memantapkan keterjaminan makanan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri MAFFI, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ia adalah Jawatankuasa Kabinet Jaminan Makanan Negeri Sabah dan Jawatankuasa Pasukan Petugas Jaminan Makanan Negeri Sabah.

Jeffrey ketika menghadiri Majlis Amanat MAFFI Tahun 2023, di Wisma Pertanian, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, penubuhan kedua-dua jawatankuasa itu telah dicadangkan ke Kabinet Negeri dan diluluskan pada tahun lalu.

“Kita telah mengadakan mesyuarat pertama baru-baru ini dan kita bercadang untuk mengadakan mesyuarat kedua dalam tempoh terdekat supaya kita dapat menyediakan laporan kepada Kabinet.

“Kerajaan Negeri mengambil serius perkara yang berkenaan dengan keterjaminan makanan bagi sektor tanaman, perikanan dan penternakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat MAFFI Tahun 2023, di Wisma Pertanian, di sini, hari ini.

Ketika ditanya sekiranya bekalan makanan laut dapat menampung permintaan pelancong, Jeffrey berkata, ia tidak menjadi masalah.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam memastikan bekalan makanan kekal terjamin.

“Makanan laut merupakan salah satu kekuatan kita dan buat masa ini, kita ‘self-sufficient’ 100 peratus, namun ia boleh terus diperbaiki.

“Jadi kita tunggu kemasukan para pelancong ke negeri ini, dengan ekonomi yang aktif, saya percaya kita boleh memenuhi keperluan makanan pelancong kita, terutamanya makanan laut.

“Kita juga telah berbincang untuk mengalakkan pemain industri menghasilkan dan meningkatkan pengeluaran,” katanya.

Dalam pada itu, dalam ucapannya, Jeffrey memaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Perikanan telah berjaya mencatatkan purata pencapaian 92 peratus bagi prestasi keseluruhan pada tahun 2021.

Berkongsikan harapan dan aspirasi untuk tahun ini, beliau berharap agar MAFFI akan berada dalam kapasiti yang lebih baik untuk melangkah ke hadapan.

“Bukan sahaja kerana kita sekarang dapat bergerak lebih aktif berbanding tempoh pandemik, tetapi juga kerana kita mempunyai lebih ramai pelabar yang akan masuk ke negeri ini,” katanya.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Hendrus Anding; Pembantu Menteri II, Peto Galim; Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jannie Lasimbang dan Setiausaha Tetap MAFFI, Robert Stidi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|