Kes Ebit Lew: Polis rampas telefon bimbit Firdaus Wong

Kes Ebit Lew: Polis rampas telefon bimbit Firdaus Wong

Tenom: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini diberitahu seunit telefon bimbit milik pendakwah bebas, Firdaus Wong dirampas polis berhubung siasatan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew.

Rampasan itu dimaklumkan Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak di bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Hirdawati Isa yang tampil sebagai saksi keenam pendakwaan dalam perbicaraan kes Ebit.

Ketika prosiding hari ini, Hirdawati berkata, beliau menerima arahan pegawai penyiasat, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri bagi menjalankan rampasan telefon bimbit milik seorang saksi pendakwaan, Firdaus Wong pada sekitar jam 2 petang, 28 September 2021.

“Saya dimaklumkan penama akan datang ke pejabat D11, Bukit Aman pada hari berkenaan.

“Sejurus penama tiba di pejabat D11 sekitar jam 7.05 petang, saya kemudiannya mengarahkan Firdaus Wong menyerahkan telefon bimbit milik beliau.

“Saya seterusnya telah mengeluarkan borang pemeriksaan kepada Firdaus Wong,” katanya menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan utama.

Hirdawati berkata, telefon bimbit yang dirampas adalah jenis Iphone XS Max berwarna putih berserta satu kad sim Digi.

Ebit berdepan 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di Tenom.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021 sebelum laporan polis terhadapnya dibuat pada 7 Ogos 2021.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|