KOTA KINABALU: Pembatalan Projek Penyewaan Powership 224 megawatt yang telah diluluskan pada 12 Jun lalu telah dibatalkan.
Projek skala ‘fast track’ bagi menangani isu jidar simpanan kritikal dengan tempoh penyewaan lima lima tahun (2023-2028) itu terdahulu diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.
Menurut Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, pembatalan tersebut adalah rundingan perjanjian Power Purchase Agreement (PPA) di antara SESB dan Karpowership yang merupakan bawah penyeliaan Suruhanjaya Tenaga Malaysia, tidak mencapai persetujuan di antara kedua pihak.
“Projek ini telah diluluskan oleh JPPPET Sabah pada 12 Jun 2023 dan proses seterusnya adalah rundingan perjanjian Power Purchase Agreement (PPA) di antara SESB dan Karpowership di bawah penyeliaan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.
“Akan tetapi proses rundingan di antara SESB dan Karpowership Global tidak dapat mencapai persetujuan oleh kedua-dua pihak.
“Pihak Lembaga Pengarah SESB telah berkeputusan untuk menamatkan proses rundingan pada 15 September 2023 melalui surat makluman kepada ECoS dan Karpowership Global.
“Seterusnya mesyuarat susulan mengenai keputusan ini telah diadakan di antara Yang Berhormat Menteri NRECC, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak), ECoS, SESB dan ST pada 20 September 2023 yang telah memutuskan pembatalan projek ini (untuk diselaraskan di dalam mesyuarat JPPPET Sabah) dan menyokong pelan alternatif oleh SESB dan ECoS,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub berhubung status terkini projek penyewaan powership terbabit di Sidang DUN Sabah, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, terdapat pelan alternatif bagi menggantikan projek berkenaan dengan pelan-pelan lain.
“Meneruskan pelan interim iaitu penyewaan diesel genset berkapasiti 100 megawatt yang akan dilanjutkan operasinya sehingga tahun 2025 (berbanding dengan perancangan asal iaitu untuk tempoh enam (6) bulan saja.
“Projek pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 megawatt akan diawalkan operasinya kepada tahun 2024 (berbanding dengan perancangan asal iaitu tahun 2026)
“Pihak ECoS akan memperhalusi dan menyelaraskan perubahan Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) melalui mesyuarat JPPPET Sabah (atau Majlis Tenaga Sabah) pada awal tahun hadapan setelah mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik,” katanya.
Deasoka