SMJ ambil alih kepentingan ekuiti PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd

SMJ ambil alih kepentingan ekuiti PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah, melalui syarikat milik penuhnya, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) dan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) menandatangani Perjanjian Dasar Induk (Heads of Agreement) bagi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PC FSSB).

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr Dionysia Aloysius Kibat dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Dionysia (kanan) dan Mohd Yusri (kiri) menandatangani perjanjian pengambilalihan kepentingan ekuiti oleh SMJ dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PC FSSB) sambil disaksikan Masidi (tengah).

Majlis itu yang diadakan hari ini disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Menteri Kewangan ll negeri dan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Datuk Bacho Pilong.

Dionysia berkata, pengambilalihan kepentingan ekuiti dalam PC FSSB bakal membuahkan perkongsian keuntungan yang lebih besar kepada Sabah dalam industri minyak dan gas di Sabah.

“Ini adalah tambahan kepada pengambilalihan aset saluran paip gas hiliran terpilih dan kontrak pembekalan gas asli oleh Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) baru-baru ini yang menjadikan SEC pembekal domestik dan pengangkut gas asli terbesar di Sabah.

“Pengambilalihan ini menandakan peningkatan penyertaan GLC Sabah dalam industri minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, pelupusan kepentingan itu adalah sebahagian daripada usaha strategik PCG untuk meletakkan dirinya sebagai rakan pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi PCG untuk mengekal dan mengembangkan perniagaan petrokimia di Sabah.

“Kami menghargai peluang ini untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sabah. Kami mengalu-alukan SMJ sebagai rakan kongsi strategik kami, di mana mereka akan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan PC FSSB di samping memberikan nilai tambahan kepada sumber gas negeri,” katanya.

PC FSSB, anak syarikat milik penuh PCG, ditubuhkan pada 2011 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kompleks pengeluaran ammonia dan urea bersepadu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah Sipitang, kira-kira 150 kilometer dari ibu negeri.

Loji PC FSSB mempunyai fasiliti pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia dan direka untuk menghasilkan ammonia serta urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun.

“Ia adalah loji ammonia dan urea ‘single train’ terbesar di Asia Tenggara dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik, merangkumi tanah seluas 211 ekar di SOGIP.

“Kedudukannya berhampiran dengan
pasaran pertumbuhan utama di Asia Pasifik dan menjadi pemangkin utama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah melalui SOGIP.

“Ia juga adalah loji baja pertama dan loji petrokimia bertaraf dunia pertama yang dibina di Sabah,” katanya.

Produk urea digunakan secara langsung sebagai baja atau bahan mentah untuk penghasilan resin dalam papan lapis dan pelekat serta bahan kimia lain, manakala ammonia digunakan sebagai bahan mentah untuk urea, atau kegunaan industri seperti pembersih alkali dan gas penyejuk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|