5 ADUN ingkar keputusan UMNO Sabah boneka GRS – Ghazalie Ansing

5 ADUN ingkar keputusan UMNO Sabah boneka GRS – Ghazalie Ansing

Kota Kinabalu: Tindakan lima ADUN Barisan Nasional (BN) kekal menyokong Datuk Seri Hajiji Noor memaparkan wajah sebenar mereka sebagai ‘boneka’ GRS.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, kelima-lima mereka adalah pembelot parti yang mengejar kepentingan diri sendiri apabila termakan janji-janji yang ditawarkan Hajiji.

Katanya, mereka sebenarnya lupa kedudukan yang dimiliki sekarang disebabkan daripada sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga mereka diangkat menjadi Yang Berhormat.

“Pemimpin parti yang sebenar akan taat kepada keputusan parti kerana kesatuan tetapi pemimpin seperti lima ADUN berkenaan hanya boneka kepada parti lawan.

“Mereka adalah pembelot yang sanggup dijadikan buah catur parti lawan demi memgekalkan kuasa dan kemewahan yang dirasai sekarang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ghazalie berkata, sebelum menjadi wakil rakyat BN, semua pembelot terbabit sanggup merayu dan memohon simpati supaya diberikan peluang tetapi apabila sudah menang mula menunjukkan sikap besar kepala masing-masing.

Justeru beliau katanya, UMNO perlu mengambil tindakan tegas untuk memastikan kesemua ADUN berkenaan menerima pengajaran termasuklah memecat kesemuanya jika perlu.

“Sudah tiba masanya untuk UMNO Sabah mengangkat pemimpin lain bagi menggantikan mereka demi memastikan parti itu terus kukuh dan bersatu hati dalam membuat keputusan.

“Saya anggap kelima-lima pembelot ini telah menempah tiket untuk meninggalkan UMNO, justeru terpulang kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk mengambil tindakan tegas.

“Sudah tentu masih ramai lagi pemimpin lain di kawasan mereka yang boleh diangkat sebagai pemimpin pada masa depan,” katanya.

Ghazalie berkata, tiada gunanya lima pembelot ini disimpan kerana akhirnya mereka menjadi boneka GRS yang akan membakar parti sendiri dari dalam demi kepuasan diri sendiri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|