Jumlah SD bukan jaminan kekal Ketua Menteri – Shafie

Jumlah SD bukan jaminan kekal Ketua Menteri – Shafie

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah akuan bersumpah (SD) yang diumumkan Hajiji Noor, semalam, bukanlah jaminan bagi pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu boleh terus kekal sebagai ketua menteri.

Sebaliknya, kata beliau, keabsahan kedudukan Hajiji sebagai ketua menteri dari segi perlembagaan merupakan perkara penting yang perlu dilihat selepas mendakwa Hajiji kini sudah tidak berparti.

Katanya, Perkara 6(3) yang dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, menyatakan Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 2020.

“Mengikut perkara itu Datuk Seri Hajiji Noor sewajarnya sudah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Sabah apabila beliau bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar daripada Bersatu seperti diumumkan sebelum ini.

“Kini beliau (Hajiji) merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Namun GRS tidak bertanding dalam PRN Sabah lepas… Hajiji bertanding atas tiket Bersatu. Oleh itu Hajiji telah hilang kelayakan dan perlu meletak jawatan sebagai ketua menteri,” katanya selepas sesi pertemuan dengan Duta Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri dalam sidang media mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Ditanya mengenai dakwan kononnya Warisan telah berbincang dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri, Mohd Shafie berkata ia hanya dakwan dan apa yang penting Perlembagaan Negeri Sabah perlu dipatuhi untuk membentuk kerajaan negeri.

Sementara itu, ditanya mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, Mohd Shafie berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai perjumpaan berkenaan.

“Ya saya tahu perdana menteri akan ke Sabah malam ini, namun saya belum dimaklumkan mengenai perjumpaan. kalau saya dipanggil, saya akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|