Sindiket penyeludupan minuman keras, rokok hampir RM8 juta tumpas di Sandakan

Sindiket penyeludupan minuman keras, rokok hampir RM8 juta tumpas di Sandakan

Kota Kinabalu: Sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai membabitkan nilai rampasan hampir RM8 juta tumpas dalam serbuan di tiga lokasi di Sandakan menerusi Op Kontraban, kelmarin.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga 2.30 petang oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan itu turut menahan tiga suspek lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

Pasukan operasi merampas minuman keras dan rokok dalam serbuan di sebuah gudang di Sandakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, bertindak atas maklumat dan risikan yang diperolehi, tiga serbuan membabitkan dua gudang dan sebuah rumah telah dilaksanakan.

Katanya, hasil pengeledahan di tiga lokasi berkenaan merampas rokok tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5,950,740.09.

“Pasukan serbuan turut merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1,714,437.

“Hasil serbuan itu juga turut merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan.

“Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM7,915,177.45,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Idris berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga suspek yang ditahan itu bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai kastam.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan siasatan selanjutnya,” katanya.

Tambah Idris lagi, kejayaan rampasan ini sekali gus berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penjualan rokok serta minuman keras tidak bercukai di Sandakan.

“Siasatan kes mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|