Pengorbanan perwira tanah air sentiasa diingati

Pengorbanan perwira tanah air sentiasa diingati

Kota Kinabalu: Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas, di sini, diadakan setiap tahun sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa serta pengorbanan perwira tanah air.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, ia merupakan hari yang cukup signifikan kepada semangat kesetiaan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Jeffrey menyempurnakan Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas, Kota Kinabalu.

Jelasnya, dalam erti kata lain, sebagai rakyat, kita harus sentiasa bersiap sedia untuk membuat pengorbanan demi negara kita.

“Hari ini merupakan upacara memperingati perwira negara, jadi kita datang untuk menghormati mangsa peperangan dan kita akan terus menghormati dan memperingati jasa-jasa dan pengorbanan mereka.

“Jadi signifikan bagi kita di Sabah, kita harus berjuang untuk kepentingan rakyat Sabah. Walau apa pun terjadi kita harus bersedia dan belajar daripada pengorbanan perwira kita agar kita akan mencapai matlamat yang kita idam-idamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam menghadiri Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas, di Taman Peringatan Petagas, hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan berkata, beliau mengambil peluang itu untuk turut sama membuat refleksi mengenai hari bersejarah itu.

“Lihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita lawan. Pengalaman peribadi saya, kita harus berjuang sehingga kita memperoleh hasilnya. Walaupun kita berhadapan dengan rintangan di tengah jalan.

“Saya pernah dipenjarakan. Namun, saya tidak kisah kerana hari ini kita lihat hasilnya. Bagi saya, itu adalah pengalaman peribadi saya dalam membuat refleksi signifikan hari ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|