Anak lemas mandi kolam ketika percutian keluarga

Anak lemas mandi kolam ketika percutian keluarga

Labuan: Percutian sekeluarga di sebuah villa di sini, berakhir tragedi apabila anak mereka berusia enam tahun lemas ketika mandi di kolam renang di kawasan villa berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Unit Kecemasan Hospital Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menginap di villa berkenaan bersama kanak-kanak lain pergi mandi di kolam renang yang terletak di hadapan villa.

Katanya, ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa mandi bersama kanak-kanak yang lain.

“Kira-kira 15 minit kemudian, semua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam itu telah diarah untuk masuk ke dalam villa.

“Namun, ibu mangsa tidak melihat anaknya lalu masuk ke dalam rumah untuk mencari mangsa.

“Selang beberapa minit, beberapa orang kanak-kanak menjerit di kawasan kolam kerana menemui mangsa di dalam kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad berkata, mangsa kemudian diangkat ke tepi kolam dan dijalankan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur jenayah di dalam kejadian berkenaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan di talian 087-412222.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|